Thursday, August 14, 2008

Petua tahan lama.....

Sesuai untuk yang dah berkeluarga mahupun yang masih solo.......
Ewah ewah ewah... korang suka betul kalau bab-bab nak tahan lama nie, ya?
Kat bawah nie ada petua untuk 'tahan lama'.


KELAPA PARUT

Untuk lebih tahan lama selama 2 tahun.
Belah kelapa dan ambik sebelah sahaja.
Gunakan sebelah pada 31 December 200
8. Dan sebelah lagi
pada 1 January 200
9. Wah...tahan sampai 2 tahun kan ?

NASI/LAUK

Biar tahan lebih lama,
Jangan gunakan jari pasal jari korang ada bakteria.
Sebab tu lauk cepat basi. Ceduk la pakai sudu ke, sudip ke.


BARANGAN KEMAS TERUTAMA EMAS

Kalau untuk lebih 'tahan lama',
Bayarle zakat utk barang kemas tu atau pakai saja.
Barangan emas bila dah terlalu banyak, kena bayar zakat.
Kalau tak, tetiba hilang atau kena curi, padan muka korang, ha haa...

PAKAIAN.

Nak tahan lama
Jangan rendam dalam serbuk pencuci lama sangat elak guna washing mach.
Jangan jemur bawah mentari terik elak guna bleach.
Jangan bawa mandi kat beach.
Gantung bila disimpan.
Cuci guna air jeram/hujan.
Jangan bagi pinjam kat kawan!!!.
Kalau nak tahan lagi lama PINJAMLAH BAJU MEMBER...
BAJU SENDIRI SIMPAN.

KERETA

Nak tahan lama.
Lepas beli, simpan kat garaj. tutup elok2. jangan bagi angin masuk.
jangan bagi abuk masuk. jangan bagi wap air masuk.
bayar loan bulan2. sampai abis loan. gerenti tahan lama.

KENYANG

Kalau nak tahan lama,
Sebelum makan - baca bismillallah dan doa
Akhir makan - doa dan ucap alhamdullillah. ..

UMUR

Umur nak tahan lama?
Banyak kan senyum, jangan fikir semua masalah dan
jangan merokok!!! (bukan sebab rokok tu bahaya tapi
bazirkan duit saja, kalau duit tak ada banyakkan lagi masalah).

ROKOK

Rokok nak tahan lama?
Jangan hisapplah... ...!!!!, letak atas meja dan pandang saja.
P/S: jangan hisap benda-benda yang dilarang...sendiri mau ingat
hahaaa....

TIDUR

Nak tahan lama tak tidur malam
Rajin-rajinlah tidur siang.

HUBUNGAN

Bertahan lama dalam persahabatan/ hubungan,
Jujur dan ikhlas je!!!!

Last word:
SELAMAT BERTAHAN LAMA...
............ ...sentiasa terbuka dan rasional.

Sunday, August 10, 2008

KERACUNAN MAKANAN DI SEKOLAH SK TAMAN DAYA 2, JB.

Kes keracunan makanan ini berlaku pada hari sabtu 09/08/08 iaitu pada hari sekolah ganti, sekolah ini merupakan tempat aku menjalani praktikum selama 3 bulan... tetapi semasa kejadian aku tidak ada di sekolah kerana, aku perlu datang ke maktab...



43 murid keracunan

Oleh IBRAHIM ISA dan RUDY FAZRUNISYAM SAMARUDIN
am@hmetro.com.my

JOHOR BAHRU: Ayam goreng basi yang dijual di kantin dipercayai punca 43 pelajar Sekolah Kebangsaan Taman Daya Dua, di sini keracunan makanan selepas mengadu sakit perut dan muntah, semalam.

Kejadian kira-kira jam 11 pagi itu disedari pihak pengurusan sekolah terbabit apabila ramai murid mengadu sakit perut dan muntah selepas makan di kantin sekolah itu ketika waktu rehat, kira-kira jam 9.45 pagi.

Bimbang keadaan pelajar terbabit bertukar bertambah teruk, beberapa guru membawa mereka ke Hospital Sultan Ismail (HSI), kira-kira jam 11.45 pagi, untuk mendapatkan rawatan.

Beberapa mangsa yang ditemui berkata, mereka mula sakit perut dan muntah selepas makan ayam goreng yang dijual di kantin sekolah.


Shahrul Fahmi Kamarulzaman, 11, berkata sebaik waktu rehat tamat, perutnya mula memulas ketika di dalam kelas.

“Selepas itu saya muntah enam kali. Saya mengadu kepada guru dan dia membawa saya ke hospital,” katanya.

Rakannya, Ahmad Norazim Mohd Nasir, 11, mendakwa muntah tiga kali selepas makan ayam goreng yang rasanya masam itu.

“Saya ingatkan saya seorang saja yang sakit perut, tetapi ketika mengadu di bilik guru saya dapati ramai mengalami nasib sama. Kami dihantar oleh guru ke hospital tidak lama kemudian,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Kesihatan Negeri Johor, Dr Robia Kosai yang meninjau sekolah itu berkata, Jabatan Kesihatan negeri mengambil sampel makanan yang didakwa menjadi penyebab keracunan makanan itu.

Katanya, tiada pelajar yang terbabit dalam kejadian itu mengalami keracunan makanan serius dan mereka dibenarkan pulang ke rumah selepas mendapatkan rawatan di HSI.

“Jabatan Kesihatan mengambil sampel makanan dan akan melakukan ujian sebelum mengambil tindakan terhadap operator kantin sekolah,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Pelajaran dan Pengajian Tinggi Negeri Johor, Datuk Maulizan Bujang, ketika dihubungi turut mengesahkan perkara itu dan memaklumkan Jabatan Pelajaran negeri diarah melakukan siasatan terperinci.

“Jabatan Pelajaran juga mengarahkan operasi kantin sekolah berkenaan ditutup sementara bagi menjalankan siasatan,” katanya.

Saturday, August 9, 2008

Haram meminta sedekah tanpa hajat darurat

Haram meminta sedekah tanpa hajat darurat

Oleh Mohd Shukri Hanapi

REZEKI adalah anugerah atau kurniaan Allah kepada setiap hamba-Nya. Oleh itu, kita tidak perlu berasa khuatir atau bimbang jika kekurangan atau ketiadaan rezeki kerana Allah sudah menentukan rezeki masing-masing.

Allah berfirman yang bermaksud, “Dan tiadalah sesuatu pun daripada makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jugalah yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat ia disimpan. Semuanya itu tersurat di dalam Kitab (Lauh Mahfuz) yang nyata (kepada malaikat-malaikat yang berkenaan).” (Surah Hud, ayat 6)

Sehubungan itu, walaupun Allah sudah menetapkan rezeki masing-masing, janganlah pula kita menyalahertikan maksud ayat itu dengan hanya berdiam diri dan mengharapkan pertolongan orang lain tanpa berusaha atau bekerja mencari rezeki.

Allah berfirman yang bermaksud, “Kemudian selepas selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat).” (Surah al-Jumu’ah, ayat 10)

Perlu diingat bahawa dalam konteks mencari rezeki di muka bumi ini, kita hendaklah sentiasa berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan rezeki. Akan tetapi, janganlah mudah mengeluh dan berputus asa jika selepas berusaha dan bertawakal kepada Allah, masih gagal dan tidak memperoleh hasil daripada usaha atau hasilnya tidak seperti diharapkan.

Kita tidak perlu kecewa dan berputus asa kerana yang demikian itu sudah ditetapkan Allah, tetapi teruskanlah berusaha dan bekerja bersungguh-sungguh kerana setiap ketentuan yang Allah itu ada hikmahnya.

Allah berfirman yang bermaksud, “Dan kalaulah Allah memewahkan rezeki bagi setiap hamba-Nya, nescaya mereka akan melampui batas di bumi (dengan perbuatan-perbuatan liar durjana), akan tetapi Allah menurunkan (rezeki-Nya itu) menurut kadar yang tertentu sebagaimana yang dikehendaki-Nya. Sesungguhnya Ia mengetahui dengan mendalam akan segala keadaan hamba-Nya lagi melihat dengan nyata.” (Surah al-Syura, ayat 27)

Walaupun seseorang itu ditakdirkan Allah dalam keadaan miskin atau fakir, tetapi Islam melarang umatnya untuk berserah kepada takdir semata-mata, bahkan memerintahkan umatnya supaya berusaha mencari rezeki. Ia bererti Islam melarang umatnya meminta-minta.

Adapun perbuatan meminta-minta tanpa hajat darurat yang dibolehkan Islam hukumnya adalah haram. Walau bagaimanapun, hukumnya menjadi harus jika dalam keadaan terpaksa dan darurat seperti seseorang yang sangat lapar kerana bimbang jika tidak mendapat makanan dengan segera, mungkin dia akan jatuh sakit atau mati.

Begitu juga orang yang tidak mempunyai sebarang pakaian untuk menutup auratnya. Keadaan seumpama ini mengharuskan seseorang itu meminta daripada orang lain. Namun, keharusan itu hanya terbatas kepada si peminta yang tidak berkuasa membuat sesuatu pekerjaan menyara hidupnya. Dia berupaya untuk bekerja tetapi bersikap malas, maka, pada ketika itu tidaklah harus meminta daripada orang lain.

Agak mendukacitakan apabila akhir-akhir ini perbuatan meminta-minta semakin berleluasa di negara ini. Lebih menyedihkan lagi apabila kegiatan meminta-minta itu dilakukan kanak-kanak yang diperalatkan pihak tertentu.

Selain itu, ada juga segelintir kalangan ibu bapa yang memperalatkan anak untuk meraih simpati orang ramai kerana ada sebilangan orang mudah menghulurkan wang kepada kanak-kanak.

Oleh itu, besar kemungkinan peluang sebegini mendorong ibu bapa menggunakan kanak-kanak terutama masih kecil melakukan kegiatan berkenaan.

Oleh demikian, adalah diingatkan kepada orang ramai supaya berhati-hati dan tidak terperangkap dengan taktik digunakan mereka yang tidak bertanggungjawab di dalam memperalatkan kanak-kanak untuk meminta-minta.

Dalam hal ini, Rasulullah SAW bersabda bermaksud, “Sesungguhnya Allah menyayangi hamba-Nya beriman miskin yang tidak suka meminta-minta sedangkan dia mempunyai anak yang ramai.” (Riwayat Ibnu Majah)

Cuba perhatikan betapa orang yang nyata kemiskinannya dan kefakirannya pun dilarang meminta-minta, apatah lagi orang yang berkemampuan. Seorang Islam hendaklah sentiasa bersyukur dan reda di atas rezeki dikurniakan Allah kepadanya. Allah melarang hamba-Nya bersifat tamak apatah lagi terhadap harta benda orang lain.

Umat Islam bermaruah tinggi dan berakhlak mulia hendaklah mengelakkan diri daripada perbuatan meminta-minta. Sesungguhnya perbuatan meminta-minta tanpa sebab yang mengharuskannya itu mencerminkan seorang yang kurang memiliki akhlak mulia.

Hendaklah kita menjaga maruah diri dengan bekerja dan berusaha bersungguh-sungguh mencari rezeki Allah. Bersama berdoa mudah-mudahan Allah murahkan rezeki kepada kita.